Penggunaan ICT di dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah
Mata pelajaran sejarah sering dikaitkan dengan unsur lama dan statik
dalam pengajaran dan pembelajaran. Justeru tulisan ini cuba
mengetengahkan bagaimana aspek ICT boleh digunakan sebagai bahan untuk
P&P sejarah. P&P sejarah boleh menggunakan empat teknik iaitu
teknik tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. P&P
Keempat-empat teknik ini boleh menggunakan Kaedah Portal dan Forum,
e-mail, CDROM, pangkalan data sejarah, pemprosesan perkataan dan
presentation, dan penggunaan perpustakaan maya. Penggunaan ICT dalam
P&P turut memberikan kesan dan cabaran kepada kita dari aspek
propaganda dan tempias globalisasi, keupayaan mengakses maklumat,
kekurangan perisian dan courseware berbahasa Melayu, Isu latihan guru
sejarah, persamaan peluang mengakses bahan, dan isu pengajaran dan
pembelajaran. Secara kesimpulannya pengalaman negara-negara di Eropah
menunjukkan P&P menggunakan ICT dapat meningkatkan minat dan
pencapaian dalam mata pelajaran sejarah. Walau bagaimanapun penggunaan
ICT harus dirancang dengan teliti untuk mengelak mata pelajaran sejarah
menjadi Sejarah ICT dan bukannya ICT dalam P&P Sejarah.
Kajian di England menunjukkan kualiti pengajaran sejarah sama
ada dengan menggunakan ICT atau tidak, banyak bergantung kepada sejauh
mana ilmu pengetahuan guru tentang mata pelajaran. Pemahaman guru
tentang bagaimana cara terbaik untuk menyampaikannya juga memainkan
peranan penting. Guru sejarah yang baik akan mencabar pelajarnya untuk
berfikir secara sejarah. Penggunaan ICT dalam P&P sejarah bermaksud
bagaimana ICT membantu proses P&P. Menurut Chris Durbin (Joke van der Leeuw-Roord. 1998 ),
pembangunan ICT akan memberi impak kepada pengajaran mata pelajaran
sejarah. Misalnya kemampuan untuk mengakses data dalam jumlah yang besar
akan membawa pelajar untuk bekerja secara kendiri. Untuk itu mereka
memerlukan kemahiran inkuiri, menganalisis dan membina argument. Untuk
mencapai matlamat ini kita harus memberi peluang untuk pelajar membuat
analisis tentang masa lalu secara bebas dan menggunakan perisian
pemprosesan perkataan (MS Word atau Text) untuk menuli semula jawapan
kepada persoalan yang ditimbulkan.
Walaupun banyak kaedah boleh digunakan dengan menggunakan ICT
dalam P&P, Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran
Malaysia (2001) mencadangkan P&P melalui empat kategori:
1. Tutorial
2. Penerokaan
3. Aplikasi
4. komunikasi
1. Pembelajaran Tutorial
ICT dalam P&P mata pelajaran sejarah boleh menggunakan kaedah
tutorial apabila digunakan untuk menyampaikan kandungan pelajaran
berdasarkan urutan topik yang telah ditetapkan (Pusat Perkembangan
Kurikulum 2001). Kaedah tutorial merangkumi:
1. Pembelajaran Ekspositori
2. Demonstrasi sesuatu fenomena yang dikawal urutannya
3. Latihan atau latih tubi yang disampai dan dikawal oleh sistem
Melalui kaedah ini guru akan menerangkan dengan teliti cara penggunaan
komputer dan perisian yang terdapat di dalam CDROM, cakera keras ataupun
laman web (Pusat Perkembangan Kurikulum 2001). Dengan itu pelajar boleh
menggunakan bahan dengan panduan daripada guru. Situasi ini menjadi
lebih mudah disebabkan semua perisian yang ada kini menggunakan aspek
multimedia.
Kaedah ini sesuai digunakan apabila terdapat perbezaan kemampuan
penggunaan alat ICT di kalangan pelajar dan bilangan pelajar sangat
ramai di dalam sesebuah kelas. Penyediaan bahan melalui courseware akan
dapat menyeleaikan masalah kekurangan guru misalnya guru terbabit
terlibat dalam aturcara di luar sekolah. Malah latihan pelbagai
peringkat memberi ruang pelajar yang berbeza kemampuan untuk menguji
keupayaan mereka sesuai dengan tahap yang disediakan.
2.Pembelajaran Penerokaan (Eksploratory)
Pembelajaran Penerokaan boleh berlaku sekiranya ICT digunakan sebagai medium untuk:
1. Mencari dan mengakses maklumat daripada CDROM/DVDROM dan internet
2. Mempelajari sesuatu secara simulasi
3. Demonstrasi sesuatu kejadian yang urutan babaknya dikawal oleh murid
Pembelajaran berbentuk penerokaan melalui laman web diperkenalkan oleh
Jack Thorpe dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat yang bertujuan
melatih tentera Amerika dalam melakukan sesuatu operasi. Malah kaedah
simulasi berasaskan laman web bagi Yucesan dan Chun Hung Chen
(Shaharudin Md Salleh 2007) merupakan salah satu cara untuk meluaskan
kaedah simulasi dalam pendidikan disebabkan sifat internet yang lebih
mudah diakses melalui pelbagai sistem operasi komputer. Ini disokong
oleh kajian Lorenz et. al (Shaharudin Md Salleh 2007) menyatakan
simulasi boleh menjadi alat dan model yang boleh digunakan oleh pelajar
malah ia bersifat global disebabkan ciri yang mudah diakses. Ini
menyokong pembelajaran kaedah kooperatif dilakukan di dalam kelas.
Pembelajaran penerokaan boleh dilakukan melalui penyediaan CDROM atau
DVDROM yang sesuai dengan P&P Sejarah selain daripada menggunakan
internet. Dalam satu kajian kes di Sweden, pembelajaran sejarah
menggunakan CDROM yang diusahakan oleh Muzium dan Jabatan Arkib di
Stockholm. Dalam modul yang disediakan pelajar diminta mengemukan
persoalan dan mengemukakan dapatan mereka. Pelajar telah membincangkan
tentang projek yang dibuat dan mempersembahkan hasil melalui Power
Point. Banyak penemuan yang dihasilkan oleh pelajar dan didapati mereka
sangat gembira dengan hasil tinjauan mereka. Manakala di Canada (Paquin M
& Barfurth M 2007) kajian menunjukkan berlakunya peningkatan minat
daripada pelajar disebabkan sebahagian pelajar memiliki kemahiran
menggunakan alat ICT.
Melalui kaedah ini pelajar sendiri yang menentukan maklumat yang
diterima melalui medium ICT. Justeru penerangan yang jelas amat penting
agar pelajar menggunakan ICT untuk mempelajari sejarah. Kaedah ini
sangat sesuai dengan pendekatan pembelajaran Konstruktif, iaitu
penekanan kepada aspek kritis, penyelesaian masalah, pengalaman
pelajaran yang autentik, dan pengetahuan yang dibina melalui interaksi
sosial.
Kaedah ini sesuai dalam situasi berikut:
1. Pembelajaran yang berbentuk inkuiri penemuan
2. Penyelesaian masalah kehidupan sebenar
3. Kajian masa depan
4. Pembelajaran simulasi
Kaedah ini akan memberi kelebihan kepada pelajar supaya lebih aktif dan
tidak berorientasikan guru. Guru boleh menerapkan teori pembelajaran
konstruktif, pelbagai kecergasan dan sebagainya.
3. Aplikasi Teknologi Maklumat
Internet merupakan sumber maklumat yang begitu besar tetapi tidak
semuanya boleh digunakan sebagai sumber maklumat yang sahih dari kaca
mata sejarah. Malah maklumat yang sama boleh ditafsirkan dengan cara
yang berbeza oleh penulis laman web. Aspek “bias”, propaganda politik
dan ekonomi boleh mempengaruhi tafsiran bahan sejarah.
Pencarian maklumat sejarah yang sah bukanlah satu tugas yang mudah.
Pelayar (Browser) yang sesuai dan banyak digunakan misalnya Internet
Explorer, Mozilla Firefox dan Netcape Navigator. Semua pelayar ini boleh
menyimpan tapak-tapak web yang dilayari (Bookmark). Manakala pencarian
di internet akan menggunakan enjin pencari seperti Yahoo, Google, Alta
Vista dan lain-lain lagi. Kaedah yang biasa digunakan dalam P&P
ialah:
* Guru menyenaraikan alamat web untuk dicarikan maklumat.
* Guru menyenaraikan beberapa soalan yang perlu diselesaikan melalui carian maklumat di laman web.
* Pelajar akan membentangkan hasil dapatan mereka.
Perkara paling jelas dalam menggunakan aplikasi ICT untuk tujuan P&P
sejarah ialah kita boleh memberi tumpuan kepada topik pengajaran
berbanding sub topik lain yang kurang ditekankan. Misalnya, selepas
melakukan ekperimen dalam kajian Arkeologi sejarah pelajar perlu
mengkaji hubungan di antara dua pembolehubah. Mungkin pelajar perlu
membuat plot graf yang banyak untuk melihat hubungan. Adalah tidak
dinafikan pelajar perlu memiliki pengetahuan dalam membina graf tetapi
dalam sejarah kita wajar memanipulasi beberapa perisian yang khusus
untuk membuat pengiraan dan membina graf. Justeru, perhatian pelajar
bukanlah tentang masalah mebina graf teapi untuk membuat tafsiran dan
analisis terhadap graf dan trend graf yang dibina oleh perisian komputer
(Pusat Perkembangan Kurikulum 2001).
Kekurangan yang paling ketara dalam implementasi kaedah ICT dalam
P&P sejarah di negara kita ialah tidak wujud aspek perkongsian
maklumat dengan sekolah atau institusi lain dalam dapatan bahan.
Kalaupun ada aspek perkongsian hanya terhad kepada perkongsian yang
berkaitan dengan soalan peperiksaan atau pembinaan bank soalan.
Aplikasi ICT dalam P&P sejarah boleh melibatkan penggunaan Internet,
E-Mail, CDROM, Pangkalan Data, dan Pemprosesan perkataan. Aplikasi ini
akan dijelaskan dalam topik seterusnya.
4. ICT Sebagai Alat Komunikasi
Aspek Komunikasi dalam peralatan ICT hanya terhasil apabila sumber
sejarah, guru dan pelajar dapat menerima, menghantar dan berkongsi bahan
sejarah dalam lokasi tempat yang berbeza. Komunikasi di buat dalam
bentuk Komputer Peribadi (PC), Notebook dan telefon bimbit. Perbezaan
tempat ialah jarak di antara sumber, guru dan pelajar berada, malah
mungkin merentasi sempadan negara dan sempadan masa. Bahan yang dikongsi
boleh wujud dalam bentuk:
1. Teks
2. Grafik
3. Audio
4. Video
5. Kombinasi pelabagai mod
Teknik komunikasi dalam P&P melalui empat teknik di bawah:
1. Teknik Seorang (bersendirian) – Teknik ini biasa dilakukan melalui
ekplorasi terhadap bahan di internet. Dalam teknik ini pelajar akan
membuat akses tehadap sumber sejarah tanpa melibatkan komunikasi dua
hala.
2. Teknik Seorang kepada Seorang-Teknik ini melibatkan komunikasi di
antara pelajar atau pelajar dengan guru. Biasanya kaedah ini melibatkan
penggunaan penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada telefon bimbit,
E-Mail, dan Chatting.
3. Teknik Seorang kepada Ramai – Kaedah ini melibatkan penggunaan
E-Mail, Chatting, Forum dan Kumpulan-kumpulan pengguna di Yahoo atau
Gmail (Aspek ini akan diperincikan di bahagian topik seterusnya).
4. Teknik Ramai kepada Ramai - Teknik yang biasa digunakan ialah forum dan Kumpulan-kumpulan pengguna di Yahoo atau Gmail.
Satu model yang boleh memainkan peranan penting di sini ialah
Pembelajaran Kolaboratif. Pemodenan infrastruktur komunikasi menjadi
pelajar, guru dan sumber sejarah boleh berhubung merentas sempadan
daerah, budaya, dan politik. Justeru, pembelajaran sejarah oleh pelajar
akan banyak berkongsi pengalaman dan membuat perbandingan dengan negara
lain. Kaedah pembelajaran begini mampu membuka minda (Pusat Perkembangan
Kurikulum 2001), serta menjadikan pembelajaran sejarah sesuatu yang
sangat menyeronokkan pelajar. Peningkatan ilmu pengetahuan hasil empat
teknik komunikasi diharap dapat meningkatkan keyakinan kendiri pelajar
dan seterusnya memenuhi matlamat negara menyediakan pelajar yang boleh
bersaing di peringkat global dalam semua apek kehidupan.